1) Terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang hukum membuat binaan di atas kubur di antara haram dan makruh;
a)
Pandangan pertama;
ia haram secara mutlaknya. Antara ulamak yang berpandangan sebegini
ialah Imam al-Hafidz al-‘Iraqi, asy-Syaukani dan as-Shon’ani. Mereka
berpegang dengan makna zahir dari arahan Nabi supaya meratakan kubur dan
larangan baginda dari membuat binaan di atas kubur.
Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُبْنَى عَلَى الْقَبْرِ
“Sesungguhnya
Nabi–sallallahu ‘alaihi wasallam- menegah dari membuat binaan di atas
kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).
عن جابر
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قال: نهى رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
“Rasulullah
menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya
dan dari membuat binaan di atasnya” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir
–radhiyallahu ‘anhu-).
Dalam kitab Soheh Muslim, Sunan
at-Tirmizi, Abu Daud dan sebagainya; terdapat hadis dari Saidina ‘Ali
–radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa beliau telah disuruh oleh
Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- agar memusnahkan semua patung-patung
dan meratakan semua kubur-kubur yang ditinggikan. (Soheh Muslim, Kitab
al-Janaiz, bab al-Amr bitaswiyati al-Qabr (hadis no. 969)).
b)
Pandangan jumhur ulamak
(termasuk mazhab-mazhab empat); membuat binaan di atas kubur adalah
makruh. Mereka memahami larangan Nabi dalam hadis di atas sebagai
larangan makruh, bukan larangan haram. Kecualilah jika tanah perkuburan
tersebut adalah tanah wakaf awam (yakni bukan milik persendirian), maka
haramlah membuat binaan di atas kubur kerana akan menghalang orang lain
dari menggunakannya di kemudian hari sedangkan tanah perkuburan itu
adalah milik bersama. Begitu juga, haram membuat binaan jika dengan
tujuan berbangga-bangga dan menghias-hias kubur. Hukum haram ini telah
disepakati oleh ulamak. Jadi, hukum makruh yang dimaksudkan oleh jumhur
itu ialah apabila binaan dibuat hanya bertujuan memperkemaskan kubur
atau memperelokkannya.
Bagi kubur milik persendirian, sebahagian
ulamak (iaitulah ulamak-ulamak mazhab Malik) mengharuskan membuat
binaan sederhana di keliling kubur (bukan di atasnya) iaitu sekadar
untuk membezakan satu kubur dari satu kubur yang lain. Adapun kubur
wakaf tidak diharuskan sebarang binaan (sama ada di atasnya atau di
sekelilingnya) atas alasan tadi.
Apa yang menjadi Sunnah Nabi
–sallallahu ‘alaihi wasallam- ialah kubur tidak ditinggikan melainkan
sekadar satu hasta sahaja iaitu untuk dikenali bahawa itu adalah kubur
supaya dijaga kehormatannya dari dipijak, dibuang najis atau sebagainya.
Dalam kitab Soheh Imam al-Bukhari, terdapat riwayat dari Sufyan
at-Tammar yang menceritakan;
أنه رأى قبر النبي صلى الله عليه وسلم مسنما.
“Ia
melihat kubur Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- tingginya hanya
sekadar tinggi bonggol unta sahaja” (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Janaiz,
bab Ma Ja-a Fi Qabr an-Nabiy wa Abi Bakr wa ‘Umar).
Ketika
Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- mengkebumikan jenazah seorang
sahabat bernama Usman bin Madz’un –radhiyallahu ‘anhu-, baginda hanya
meletakkan tanda di kuburnya dengan seketul batu sahaja di bahagian
kepalanya dan baginda bersabda;
"أتعلم بها قبر أخي، وأدفن إليه من مات من أهلي"
“Supaya
aku mengenali dengan tanda batu ini kubur saudaraku dan agar aku dapat
mengkebumikan di tepinya sesiapa yang mati dari ahli keluargaku” (Sunan
Abi Daud, kitab al-Janaiz, bab Fi Jam’ie al-Mauta Fi al-Qabr wa al-Qabr
yu’allam).
Berkata Imam as-Syafi’ie; bagi aku makruh meninggikan
kubur melainkan sekadar untuk diketahui bahawa itu adalah kubur yakni
supaya ia tidak dilangkahi dan tidak diduduki di atasnya. (Sunan
at-Tirmizi, Abwab al-Janaiz ‘an Rasulullah, bab Ma Ja-a Fi Taswiyati
al-Qabr).
2) Mengenai tulisan di kubur, pandangan ulamak juga
sebagaimana di atas iaitu ada ulamak yang mengharamkannya dan jumhur
ulamak memakruhkannya. Terdapat hadis dari Jabir bin ‘Abdillah
–radhiyallahu ‘anhu- menceritakan;
نهى رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ أن يكتب على القبر شيء.
“Rasulullah menegah dari menulis sesuatu di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah)
Di dalam hadis yang lain;
نهى رسول الله - صلى الله عليه وسلم - عن تجصيص القبور، والكتابة فيها، والبناء عليها، والجلوس عليها
“Rasulullah
menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, membuat tulisan
padanya, membuat binaan di atasnya dan duduk di atasnya” (Riwayat
al-Hakim darim Jabir).
Menurut jumhur; larangan (yakni makruh)
menulis sebarang tulisan atas kubur itu merangkumi semua tulisan
termasuklah menulis nama si mati, ukiran-ukiran dan sebagainya. Dalam
kitab al-Majmu’, pengarangnya (Imam an-Nawawi) menegaskan; menurut Imam
as-Syafi’ie dan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; ‘Dimakruhkan melapisi
kubur dengan kapur putih, menulis di atas kubur nama penghuni kubur atau
tulisan lainnya dan membuat binaan di atas kubur’. Hukum ini tidak ada
khilaf di sisi kami (mazhab Syaf’ie). (al-Majmu’, 5/163).
Namun
demikian, ulamak-ulamak mazhab al-Hadawiyah mengecualikan larangan
tersebut dari nama si mati (yakni menurut mereka; diharuskan menulis
nama si mati di atas kubur). Mereka mengkiaskannya dengan tindakan Nabi
meletakkan batu tanda di atas kubur sahabat bernama Usman bin Madzun
tadi untuk mengenali kuburnya. Pandangan ini ditarjih oleh Dr.
Sa’aduddin Hilali (Pensyarah di Universiti al-Azhar) dalam bukunya
“Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim” di mana beliau menegaskan;
“Pandangan yang terpilih ialah pandangan jumhur ulamak –iaitu makruh
membuat tulisan di kubur- kerana kekuatan hujah mereka dan dikecuali
dari hukum makruh itu tulisan nama khususnya bagi kubur-kubur milik
persendirian supaya tidak ada sesiapa mencerobohnya” (halaman 216).
Adapun
menulis ayat-ayat al-Quran di kubur, ulamak-ulamak mazhab Malik
menegaskan; selayaknya perbuatan tersebut diharamkan kerana ia membawa
kepada merendah-rendahkan al-Quran lama kelamaan dan terjatuh ayat-ayat
al-Quran ke tempat berpijak kaki manusia.
Wallahu a’lam.